PELAWAT MAYA

Saturday, September 26, 2009

Belasungkawa: Rahim Bakar rendah diri, tegas perjuangkan nasib rakyat Pahang


Belasungkawa: Rahim Bakar rendah diri, tegas perjuangkan nasib rakyat Pahang
Oleh Abdul Razak Raaffraaffar@bharian.com.my

BEKAS Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar, 66, yang meninggal dunia kira-kira jam 7.10 malam kelmarin, adalah seorang pemimpin politik yang dihormati kerana ketegasan dan kuat berpegang kepada prinsip dalam mempertahankan kepentingan rakyat dan Umno. Allahyarham yang dilahirkan pada 7 Februari 1943 di Beserah, Kuantan berasal daripada keluarga nelayan juga dikenali sebagai seorang pakar ekonomi, pentadbir dan pemimpin politik yang sentiasa berusaha memperjuangkan nasib rakyat ketika memimpin kerajaan negeri ini selama tiga tahun bermula 1978 hingga 1981. Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa sunat Syawal akibat serangan jantung di rumahnya di 120A, Jalan U-Thant, Ampang, Kuala Lumpur di sisi isterinya, Datin Romnah Kamaruddin, 60, dan empat anak mereka.
Pemergiannya ke rahmatullah cukup mengejutkan dan disifatkan kehilangan besar kepada rakyat Pahang dan Umno khususnya. Malah, beberapa rakan seperjuangan Allahyarham memang mengagumi dan menghormati beliau sebagai pemimpin yang berkarisma tinggi, tetapi sentiasa bersikap rendah diri dan mudah didekati rakyat pelbagai lapisan masyarakat. Abdul Rahim dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke-10 pada 19 Julai 1978 sehingga 7 November 1981 dan beliau juga adalah Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa).
Walaupun hanya satu penggal sebagai Menteri Besar, Allahyarham banyak memberi sumbangan dan mencetuskan pelbagai idea untuk memaju dan memakmurkan Pahang dan impaknya boleh dilihat pada masa sekarang. Perkara ini diakui seorang rakannya yang juga bekas Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Faisal Abdullah yang memberitahu penulis bahawa antara sumbangan Allahyarham ialah mewujudkan beberapa anak syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP). "Anak syarikat yang diwujudkan ini bertujuan memajukan hartanah dan memacu pembangunan ekonomi negeri sejajar Dasar Ekonomi Baru (DEB), membandarkan kampung dan mewujudkan peluang perniagaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). "Malah, Allahyarham juga yang mencetuskan idea membangunkan kawasan ladang getah yang sebelum ini dikenali sebagai Ata Bara kepada pembangunan hartanah bercampur dan sekarang sedang pesat membangun iaitu Bandar Indera Mahkota," katanya ketika dihubungi semalam.
Jasa dan sumbangan Allahyarham juga membabitkan pembinaan kemudahan kawasan rawat dan rehat (R&R) di jalan lama Kuantan-Kuala Lumpur untuk kebajikan pengguna laluan berkenaan sebelum wujudnya Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Mengimbau peribadi Allahyarham, beliau memang terkenal dengan sikap rendah diri, tetapi amat tegas dan begitu terperinci dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab memperjuangkan nasib rakyat Pahang sepanjang menerajui kerajaan negeri. "Beliau juga seorang yang kadangkala suka berjenaka dan aktif bersukan, cuma apabila membuat satu keputusan, beliau seorang yang serius dan tegas," kata seorang lagi rakannya, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Pahang, Datuk Abdul Jabbar Ibrahim. Kata Jabbar, Allahyarham juga seorang pemimpin yang banyak berjasa dalam pembangunan koperasi termasuk menyelesaikan masalah yang dihadapi beberapa koperasi di negara ini selain turut memperjuangkan soal bahasa. Abdul Rahim yang juga lulusan bidang Ekonomi Universiti Malaya memulakan kerjaya sebagai ahli politik sekitar 60-an sebelum dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah selepas memenangi kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum 1978. Beliau kemudian menang pada Pilihan Raya Umum 1982 selepas bertanding di kawasan Parlimen Kuantan dengan menewaskan calon DAP, Lim Pan Chiang. Jawatan pertama Allahyarham selepas tamat pengajian di universiti ialah penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada 1966 dan sepanjang kerjaya pernah memegang beberapa jawatan termasuk Pengerusi Majlis Bandaran Kuantan, Penolong Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Pahang. Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Pos dan Telekomunikasi pada 1984 selama dua tahun selain Yang Dipertua Angkasa sejak Januari lalu selain menjawat jawatan Pengerusi Mara (1982), Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (1986). Malah, dalam sektor swasta pula Allahyarham pernah memegang jawatan Pengerusi Shamelin Holdings Sdn Bhd dan Koperasi Shamelin Berhad sejak 1991 hingga menghembuskan nafas terakhir.

Thursday, September 17, 2009

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN


SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN


Daripada: Ismail @ Subari ar-Rawi @ Arisel Ba dan Keluarga

Tuesday, September 15, 2009

NOSTALGIA 2004

MELEMANG DALAM HUJAN LEBAT


Ini kisah anak beranak membuat lemang
Esok Hari Raya, semua anak dan menantu berkampung
Meriam buluh diletup setiap setengah jam, meledak
Aku menebas keliling rumah belukar semak
Akibat balik kampung hanya bila Hari Raya

Azmeer mencari kayu api, pokok leban ditebang
Terpaksa aku ke kebun getah, mencari dahan kering
Azuan, pagi lagi menebang buluh lemang
Memikul buluh lemang, pacat dua tiga di keting
Menantu si Edi memotong buluh, dipotong songsang

Arief mencari daun pisang, tapi diambil yang tua
Terpaksa isteriku keliling desa cari daun pisang muda
Menantu si Edi memarut kelapa, dua jari terluka
Sebelah kaki dan peha kerbau tiba di rumah
Ayu, Ani, Ena dan Asra segera melapah

Isteriku membasuh beras pulut lima kilogram
Kemudian memerah kelapa guna blender
Selepas itu beras pulut digaul dengan santan kelapa
Daun pisang muda digulung lalu dibubuh ke dalam buluh
Kemudian beras pulut bersantan dituang ke dalam buluh

Menantu si Mansor memasak daging gulai kawah
Siap kapak, gergaji mengerat tulang peha dan kaki
Sebelanga besar sup gearbox, aroma daun ketumbar
Jam dua petang dapur lemang mula dibakar
Takcukup minyak gas, minyak petrol disimbah

Dua belas batang buluh lemang siap diatur
Api marak supaya cepat menjadi bara berapi
Kayu kering ditambah, bahang panas membakar
Lemang masak dijangka jam enam petang nanti
Di langit, awan hitam memberat, mengilat petir

Tiba-tiba hujan turun teramat lebat bersekali ribut
Dapur membakar lemang mula dibanjiri air keruh likat
Puak lelaki bergegas membina khemah, ada yang kuyup basah
Puak perempuan berleteren, aha, macam ni lemang tak masak
Aku mula diresap gout, ejuk dan mengarah dari dalam rumah

Hujan terus mencurah, ribut melipat dahan dan pohon
Dapur lemang, api hampir padam kerana kebanjiran
Akhirnya api di dapur lemang padam, lemang pasti mentah
Isteriku menbilang jari, bakar lemang telah hampir tiga jam
Masing-masing mahu tunggu satu syawal baru mahu belah lemang

Puak lelaki pagi lagi dah bangun, berkejar ke masjid
Puak perempuan sibuk menghidang lemang, rendang dan kueh
Selepas sembayang aidil-fitri, kami pun berkejar balik ke rumah
Perut dah lapar, mata mula mengantuk, ada rasa nak demam sejuk
Setiba di rumah, isteri beritahu, “ lemang kita mentah!”

ARISEL BA
13 - 14 November 2004
Desa Ajai, Dong, Raub, Pahang

Friday, September 4, 2009

PERODUA KEMBARA DAH BALIK KAT RUMAH

Perodua Kembara dah keluar dari worksyop dan dah balik kat rumah. Kata Bob Pomen, ada skru pada sambungan gearbox dengan engin tu, satu skru dah loss, itu sebab lain benar bunyinya. Nasib baik cepat bawa jumpa pomen, kalau tidak, piring gear tu mungkin pecah. Syukur ke hadrat ALLAH. Bob pomen pesan, jika guna gear auto, jika guna D, jangan tukar-tukar ke 2 atau L, nahas gearbox nanti. Jika ada bukit tinggi, kereta kena berhenti dulu, free-kan gear, kemudian tukar dari D ke 2 atau L, baru jalan. OK...