PELAWAT MAYA

Saturday, August 8, 2009

BERAKHIR RIWAYAT RENDA

Pulangnya Burung Merak Jogja

Oleh Ku Seman Ku Hussain/Mingguan Malaysia – 9 Ogos 2009

Di Nusantara dia diberi gelaran manis, "Burung Merak Jogja". Terbangnya ke serata dunia dengan sayap sastera, tidak lekang semangat Indonesia dan sangat tebal pula protes terhadap arus perdana. Biarpun usia melewati tujuh dekad, dia masih ampuh berpuisi lantang di pentas teater.
Dia memilik nama besar selepas dipenjarakan beberapa kali pada era bekas Presiden Suharto kerana puisi protesnya. Keluar penjara dia tetap tokoh yang dijulang oleh segenap warga, dari tokoh politik hingga pelacur-pelacur di kota Jakarta.
Demikian percikan pengaruh puisi kepada sasterawan tersohor Indonesia, W.S Rendra yang menutup usia 74 tahun pukul 10.22 malam Khamis lalu di Jakarta Utara. Rendra atau nama sebelum memeluk Islam Wilibrordus Surendra Broto ini berjuang menerusi wadah sastera; puisi dan teater. Selepas memeluk Islam, Rendra menukar namanya kepada Wahyu Sulaiman Rendra atau singkatannya W.S. Rendra.
Pengaruh Rendra sangat digeruni pemerintah, acara deklamasi puisinya kerap diserbu dan beberapa kali pula Rendra dihumban ke rumah pasung. Tetapi Burung Merak Jogja ini tidak pernah tewas, sayapnya tidap pernah patah. Buktinya pada dekad 80-an, acara deklamasi puisi Rendra yang dikenakan tiket RM30 penuh sesak seumpama konsert artis popular.
Sepanjang hayatnya, Rendra tidak pernah toleran kepada penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa. Rendra bangun memprotes dan menjadi suara golongan gelandangan yang hidup di bawah jambatan di Jakarta. Rendra menjadi sasterawan pertama yang mendapat sokongan hebat seluruh pelacur-pelacur Kota Jakarta selepas mencipta puisi Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta.
riwayat
Membaca riwayat Rendra, saya begitu teringin untuk menemuinya. Terlalu terpagut dengan lancang suara dan aksi tatkala berteater.
Tahun 1985, apabila Rendra mengadakan program bersama Grup Teater Kreatif, saya dan wartawan Zaini Nasri (kini Pengarah Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia) mewawancara Rendra, dari kisah dunia sastera hingga pergulatan politik Indonesia.
Rendra memperlihatkan ketokohan sebagai pemimpin yang menggerakkan perjuangan rakyat. Jawapannya penuh yakin dilontarkan dalam suara yang sangat tenang apabila menggambarkan rejim Suharto sebagai "perompak" kesejahteraan rakyat.
Wawancara yang berlangsung di Rumah Grup Teater Kreatif itu memberi peluang kepada saya mengenali karakter dan laras pemikiran sastera besar yang memilih jalan kiri untuk sampai ke destinasinya. Saya masih ingat kata-kata Rendra apabila kami berdua mengasak dengan soalan mengenai rejim Suharto yang banyak menangkap golongan seniman, kata Rendra, "Mereka boleh penjarakan saya, bukan perjuangan saya."
Lelaki berambut gondrong, seluar jeans dan satu butang baju pasti terbuka di dada, bukan saja sangat tangkas ketika mendeklamasi puisi malah bertenaga seperti orang muda. Puisinya pula lebih berupa naratif yang sangat sukar disampaikan oleh deklamator lain yang tidak mempunyai stamina yang sama. Rendra mencurahkan lebih separuh daripada usianya kepada sastera dan teater. Rendra menulis naskhah teater dan melakonkan sendiri menerusi konsep teater yang dikenali sebagai "mini kata".
Rendra yang dilahirkan di Solo pada 7 November 1935 bukanlah secara kebetulan terjerumus dalam kancah sastera dan perjuangan golongan kiri di Indonesia. Selepas tamat sekolah, Rendra memasuki Fakulti Sastera dan Kebudayaan Universitas Gajah Mada, kemudian melanjutkan pengajian di American of Academy of Dramatic Art di New York.
Sekembali dari New York tahun 1967, Rendra membangunkan Bengkel Teater di Jogjakarta. Di situ Rendra menjadi pengasuh kepada golongan muda yang meminati sastera dan teater. Karya-karya awalnya sudah berbau protes selepas Rendra terpasung kepada perjuangan mahasiswa yang cukup hebat pada dekad 70-an. Rendra tidak membuat demonstrasi jalanan tetapi melontarkan protes dalam karya-karyanya.
Selain memprotes dalam puisi dan teater, Rendra memperlihatkan pemerhatian tajam kepada gejolak sosial kelas rendah. Dari situ lahirlah puisi Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta, Pesan Pencopek Kepada Pacarnya, Blues Untuk Ronnie, State of Emergency, Sajak Seorang Tua Tentang Bandung Lautan Api dan Mencari Bapak.
Antara karya teater Rendra yang menjadi sebutan ialah Oedipus Rex, Kasidah Berzanji, Perang Troya Tidak Akan Meletus dan Kereta Kencana. Prestasi Rendra di dunia sastera ditandai dengan banyak penghargaan yang diterimanya. Antaranya ialah Achmad Bakrie Award 2006 kerana menunjukkan bentuk yang unik dalam dunia puisi Indonesia.
Dalam berkarya, Rendra mengecualikan dirinya dari arus perdana puisi Indonesia yang didominasikan oleh puisi-puisi liris. Tetapi puisi Rendra adalah naratif serta menggali pelbagai segi lain yang terabai dalam dunia puisi Indonesia.
terdidik
Rendra seorang yang terdidik supaya menyedari landasan hubungan antara manusia dalam konteks emansipasi individu yang digambarkan dalam konsep "aku ada kerana kamu, kamu ada kerana aku". Kini Rendra sudah tiada. Rendra meninggalkan sekian banyak karya yang menjadi khazanah manusia dan kasih cinta yang tertumpah kepada isterinya, Ken Zuraida.
Ternyatalah Burung Merak Jogja ini bukanlah lelaki yang patah sayap kirinya. Sayap perjuangan Rendra tidak pernah patah sekalipun kerap kali dikurung. Semoga perjalanan pulang Rendra dilimpahi rahmat.

No comments:

Post a Comment