PELAWAT MAYA

Tuesday, September 15, 2009

NOSTALGIA 2004

MELEMANG DALAM HUJAN LEBAT


Ini kisah anak beranak membuat lemang
Esok Hari Raya, semua anak dan menantu berkampung
Meriam buluh diletup setiap setengah jam, meledak
Aku menebas keliling rumah belukar semak
Akibat balik kampung hanya bila Hari Raya

Azmeer mencari kayu api, pokok leban ditebang
Terpaksa aku ke kebun getah, mencari dahan kering
Azuan, pagi lagi menebang buluh lemang
Memikul buluh lemang, pacat dua tiga di keting
Menantu si Edi memotong buluh, dipotong songsang

Arief mencari daun pisang, tapi diambil yang tua
Terpaksa isteriku keliling desa cari daun pisang muda
Menantu si Edi memarut kelapa, dua jari terluka
Sebelah kaki dan peha kerbau tiba di rumah
Ayu, Ani, Ena dan Asra segera melapah

Isteriku membasuh beras pulut lima kilogram
Kemudian memerah kelapa guna blender
Selepas itu beras pulut digaul dengan santan kelapa
Daun pisang muda digulung lalu dibubuh ke dalam buluh
Kemudian beras pulut bersantan dituang ke dalam buluh

Menantu si Mansor memasak daging gulai kawah
Siap kapak, gergaji mengerat tulang peha dan kaki
Sebelanga besar sup gearbox, aroma daun ketumbar
Jam dua petang dapur lemang mula dibakar
Takcukup minyak gas, minyak petrol disimbah

Dua belas batang buluh lemang siap diatur
Api marak supaya cepat menjadi bara berapi
Kayu kering ditambah, bahang panas membakar
Lemang masak dijangka jam enam petang nanti
Di langit, awan hitam memberat, mengilat petir

Tiba-tiba hujan turun teramat lebat bersekali ribut
Dapur membakar lemang mula dibanjiri air keruh likat
Puak lelaki bergegas membina khemah, ada yang kuyup basah
Puak perempuan berleteren, aha, macam ni lemang tak masak
Aku mula diresap gout, ejuk dan mengarah dari dalam rumah

Hujan terus mencurah, ribut melipat dahan dan pohon
Dapur lemang, api hampir padam kerana kebanjiran
Akhirnya api di dapur lemang padam, lemang pasti mentah
Isteriku menbilang jari, bakar lemang telah hampir tiga jam
Masing-masing mahu tunggu satu syawal baru mahu belah lemang

Puak lelaki pagi lagi dah bangun, berkejar ke masjid
Puak perempuan sibuk menghidang lemang, rendang dan kueh
Selepas sembayang aidil-fitri, kami pun berkejar balik ke rumah
Perut dah lapar, mata mula mengantuk, ada rasa nak demam sejuk
Setiba di rumah, isteri beritahu, “ lemang kita mentah!”

ARISEL BA
13 - 14 November 2004
Desa Ajai, Dong, Raub, Pahang

No comments:

Post a Comment