PELAWAT MAYA

Monday, October 12, 2009

Kemelut persatuan penulis


Kemelut persatuan penulis
Oleh Nazmi Yaakub BH-13.10.2009nazmi@bharian.com.my

Tiada barisan pelapis berwibawa, miskin dana biaya kegiatan HIDUP segan, mati tidak mahu mungkin terlalu kasar untuk menggambarkan sebahagian persatuan penulis pada peringkat negeri, tetapi ia hakikat pahit yang terpaksa ditelan penggiat sastera dan pengarang tanah air. Ini kerana kayu ukur untuk menentukan nyawa persatuan penulis sama ada mati, nazak atau masih hidup, sudah tentu boleh dilihat pada kegiatan mereka, selain penulis muda khususnya dari kalangan remaja yang dilahirkan daripada rahim persatuan penulis berkenaan.
Hal ini menimbulkan tanda tanya terhadap realiti dan masa depan persatuan penulis negeri di sebalik kerancakan sastera di ibu kota dan 10 tahun pelaksanaan Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas) dan teks yang digunakan juga bakal diganti tahun depan. Setiausaha Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Abdul Hadi Muhamad, mengakui ketidakupayaan persatuan penulis negeri menggerakkan aktiviti dan ekspresi sastera berpunca daripada faktor ketiadaan pemimpin pelapis, kekangan kewangan dan gerak kerja tanpa lokasi pejabat. “Persatuan penulis negeri digerakkan dua tiga pemimpin saja termasuk Ketua dan Setiausaha yang melakukan segala macam kerja untuk menjayakan aktiviti sastera. Mereka sudah lama memegang jawatan dan berhasrat untuk berundur kerana proses berkarya terencat akibat beban tugas,” katanya kepada Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagaimanapun, keluh Abdul Hadi, pengunduran mereka mungkin menyebabkan kekosongan tidak dapat diisi oleh penggerak berwibawa kerana persatuan penulis ditimpa oleh masalah ketiadaan barisan pelapis. “Kekangan kewangan persatuan juga tidak membenarkan persatuan menganjurkan banyak aktiviti berbentuk diskusi karya, pembinaan penulis atau ekspresi sastera, memaksa persatuan bergantung kepada DBP Wilayah,” jelasnya.. Isu lokasi pejabat meskipun tampak remeh, Abdul Hadi menegaskan, ia turut menghambat persatuan penulis negeri kerana menyebabkan persatuan terpaksa menggunakan kediaman Ketua 1 sebagai alamat surat-menyurat dan urusan rasmi persatuan. “Bayangkan persatuan penulis negeri mahu meminta sumbangan daripada syarikat korporat untuk menjana kewangan, tetapi menggunakan alamat kediaman untuk tujuan itu. Sudah tentu kami tidak dapat meyakinkan mereka untuk menghulurkan sumbangan,” katanya.
Realiti pahit itu turut diakui Ketua 1 Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, yang mendakwa lebih 50 peratus daripada persatuan penulis negeri di seluruh negara berada dalam keadaan hidup segan, mati tidak mahu. “Kebanyakannya berpunca daripada masalah kewangan dan kepimpinan sehingga ada yang menawar diri untuk menjadi pemimpin hanya kerana diminta orang lain, sedangkan pemimpin paling penting dalam persatuan kerana mereka nakhoda untuk membawa ahli berlayar lebih jauh,” katanya. Amiruddin menyarankan persatuan penulis negeri mengadakan aktiviti sastera sekurang-kurangnya sebulan sekali, sama ada dalam bentuk diskusi atau bicara karya, bengkel penulisan atau majlis ekspresi sastera dalam bentuk baca puisi. “Persatuan penulis negeri tidak boleh bergantung kepada organisasi atau institusi tertentu saja, sebaliknya perlu mencari inisiatif untuk mencari dana bagi mengisi tabung persatuan, sekali gus berupaya menggerakkan persatuan,” ujarnya.. Beliau mencadangkan persatuan penulis meminta sumbangan daripada badan dan tokoh korporat yang mempunyai peruntukan dalam menunaikan tanggungjawab sosial mereka, selain bekerjasama dengan pemimpin setempat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen. PPJ sebagai contoh, menganjurkan program Gema Puisi Bersama Pemimpin hasil kerjasama dengan Ahli Parlimen, selain menjadikan Dialog Sasterawan Komsas dan Bicara Patriotisme sebagai tradisi sastera di negeri itu pada setiap tahun. “Sekiranya persatuan penulis mengadakan program, sudah tentu orang tidak ada masalah untuk menghulurkan dana kerana mereka dapat melihat sumbangan itu digunakan dan pada masa sama, persatuan juga perlu terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan seperti membantu mangsa banjir,” katanya.

No comments:

Post a Comment