PELAWAT MAYA

Tuesday, November 17, 2009

SASTERA SIBER VS SASTERA KONVENSIONAL

Sastera siber vs sastera konvensional
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahimrashiqah@bharian.com.my
BH/18.11.09

Faktor mudah dicapai dan kuasa penentu di tangan editor bukan penghalang KARYA sastera siber sering diperlekehkan kerana keupayaannya diterobosi sesiapa saja yang berminat untuk berkreativiti di dunia maya, ekoran ketiadaan proses saringan formal seperti yang berlaku terhadap karya sastera konvensional, sebelum berpeluang dibaca khalayak. Jika dulu pengarang kreatif terpaksa bergantung sepenuh kepada media arus perdana yang menyediakan ruangan Sastera seperti di Berita Harian, Utusan Malaysia, Dewan Sastera dan Dewan Budaya, tetapi kini mereka dengan mudah melihat cerpen dan puisi dapat dikongsi dengan pembaca, antaranya melalui di eSastera.com, tokeikedai.com dan baca.com.

Sama ada suka atau tidak, mutu sastera siber sentiasa dipertikaikan kerana proses penerbitannya mudah dan cepat akibat ketiadaan tapisan editor seperti laman konvensional, tanpa menafikan ia menjadi saluran pilihan bagi mengembangkan bakat kepada yang berminat serta bersungguh hati dalam dunia penulisan kreatif. Hakikat bahawa hayat sesebuah laman maya sastera, biasanya bersifat sementara dan tidak tahan lama kerana pelawat atau pembaca hanya berkunjung ke sesebuah laman web sekiranya ada sesuatu yang terkini, lalu sekiranya faktor ini kurang diberi perhatian, maka hayat laman sesawang itu tidak akan ke mana juga. Sungguhpun demikian, perkembangan sastera siber tidak mampu disekat akibat tolakan teknologi dalam era teknologi maklumat dan komunikasi memaksa ia diterima secara rela atau terpaksa kerana ia tidak mungkin dapat disekat sama sekali, jika pun ada pihak yang terus memandang sebagai karya kelas kedua.

Profesor Fakulti Kejuruteraan, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Dr (Ir) Wan Abu Bakar Wan Abas, berkata budaya membaca maklumat melalui internet yang kini menjadi gaya hidup masyarakat antarabangsa mendorong perkembangan sastera siber. “Penerimaan masyarakat terhadap sastera siber menunjukkan perkembangan positif yang memberi nilai sastera siber setaraf dengan sastera konvensional, walaupun masih ada yang mempersoalkan mutu karya siber, apatah lagi ia didominasi golongan muda,” kata pengasas eSastera.com dan lebih dikenali sebagai Irwan. Beliau melihat sastera siber yang mula menjadi kegilaan golongan muda bukan sekadar wadah menyampaikan isu semasa, bahkan membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat menonjolkan bakat mereka tanpa sempadan, meskipun ada kalanya sastera siber dianggap membosankan. “Persoalan mutu karya tidak sewajarnya timbul kerana setiap karya tidak kira siber atau konvensional, ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Bagaimanapun sastera siber ada kelebihan kerana ia bersifat interaktif dan boleh menghubungkan penulis tempatan dan antarabangsa secara langsung bagi berkongsi idea dan kritikan,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Prof Wan Abu Bakar mengingatkan masyarakat bahawa bidang sastera penting dalam menentukan tinggi rendah sesuatu bangsa dan keraguan terhadap mutu sastera siber sewajarnya diketepikan kerana beliau percaya sastera siber mampu melonjakkan sastera dan bahasa Melayu lebih ke hadapan. Pensyarah Kesusasteraan Melayu Moden, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia, Dr Nik Rafidah Muhamad Affendi, pula menganggap mutu sesebuah karya bukan ditentukan sama ada ia ditulis di komputer atau di atas kertas, tetapi dipengaruhi kebijaksanaan penulis dalam mengungkapkan pemikiran secara kreatif. “Memang ada yang melihat sastera siber sebagai karya kelas kedua kerana ia lebih bebas dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat sehingga menjejaskan kualitinya, tetapi situasi ini juga kadangkala berlaku pada karya media arus perdana. “Sekiranya dilihat daripada satu sudut, tidak dapat dinafikan kebebasan berkarya dalam sastera siber lebih luas berbanding konvensional kerana tidak melalui pelbagai tapisan, tetapi serentak itu perlu diingat karya yang memenangi Hadiah eSastera.com turut melalui proses pemilihan teliti oleh pakar dalam bidang ini,” jelasnya. Bagi meningkatkan keyakinan pembaca terhadap mutu sastera siber, beliau menyarankan penulis sastera siber agar berusaha meneroka jsu kontemporari yang relevan, sesuai dengan situasi semasa selain memberi perhatian kepada seni bahasa, isi karya dan menawarkan kreativiti menarik agar lebih sistematik. “Pengarang perlu memberi perhatian mendalam terhadap aspek kreativiti kerana sekiranya ini wujud dalam sastera siber, maka tiada sebab mengapa karya sastera siber dianggap tidak bermutu.
Hakikatnya, tanggapan karya siber sebagai kelas kedua hanya tafsiran semata-mata kerana ia boleh berubah dari semasa ke semasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment